Penghijrahan Aku , Takut ?

السلام عليكم

Bismillahirrahmanirrahim...dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, perlahan-lahan aku menyarungkan kain berwarna putih polos itu di kepalaku. Ya! Cukup padan rasanya. Seolah-olah aku seperti melihat susuk tubuh orang lain di hadapan cermin ini. Ada ketenangan yang tiba-tiba menyelinap masuk ke dalam hati. Rasa tersentuh. Rasa ingin sekali aku menangis.

Sungguh. Sangat berat amanah yang aku pikul. Ya. Memang bukan mudah untuk berubah. Perit sekali. Tapi aku tekad inilah saatnya untuk aku berhijab. Bukan esok, bukan lusa, tapi hari ini. Hari ini, di bulan muliaMu, Ya Allah. Keputusan yang pastinya mengejutkan mama, papa, keluarga dan semua sahabatku.

Bercampur-baur perasaanku. Seribu satu soalan bermain di benakku. Bersediakah aku menghadapi mereka? Masih adakah kawan yang sudi bersahabat denganku? Kuatkah aku nanti? Istiqamahkah aku? Atau...takutkah aku sebenarnya? Sungguh, aku cemburu dengan mereka yang daripada kecil sudah dilatih dengan ilmu agama. Aku kagum dengan mereka yang kini sudah berhijrah dan ingin berubah kepada yang lebih baik. Kerana aku tahu berubah itu tidak mudah.

Aku tidak dilahirkan dalam persekitaran yang benar-benar mengamalkan agama Allah. Jauh sekali untuk memahami apakah maksud sebenar di sebalik perkataan dakwah dan tarbiah. Bergelar manusia biasa, aku hanyalah seorang wanita tipikal yang menggunakan 'Nur' pada pangkal nama, tapi tidak pernah menghayati amanah yang ada pada namaku. Bergelar remaja, aku juga tidak terlepas dengan kelekaan kepada drama-drama mahupun artis Korea. Bergelar pelajar, aku juga mahu bebas bergaul, bercinta dan menikmati hidup sepuasnya. Tapi untuk berubah, aku juga mahu, dan selagi masih bernafas, ku kira masih belum terlambat untuk kembali kepada Allah.

Pagi itu, perlahan-lahan aku menuruni anak tangga. Ingin sekali melihat reaksi mama dan papa yang sedang bersarapan di ruang makan. Debaran hatiku hanya Allah yang tahu. Alhamdulillah, syukur Ya Allah...Kau permudahkan urusanku dan Kau lapangkan hati mama dan papa untuk terima perubahanku. Satu yang masih terkesan untuk aku, perbuatan dan kata-kata Mama pagi itu. Mama orang pertama yang melihat aku bertudung. Sebaik melihat aku, mama terus mengalirkan air mata dan serta-merta melakukan sujud syukur. Kata-kata yang keluar daripada mulut mama cukup membuat aku sayu.

"Kakak, mama tahu mama bukan ibu yang baik selama ni. Mama bukanlah contoh terbaik untuk kakak. Sepanjang 20 tahun, mama sentiasa inginkan yang terbaik untuk keluarga kita, tapi mama terlupa untuk sempurnakan didikan agama pada kakak. Mama minta maaf. Maaf untuk kesilapan mama yang selalu jauh daripada Allah. Maaf kerana turut bawa kakak dalam kejahilan mama. Tapi, hari ni Allah tunjuk pada mama, betapa baiknya Dia. Tidak pernah lupa pada kita. Dia buktikan pada mama melalui kakak. Alhamdulillah. Terima kasih, kakak."

Mama, kalaulah mama tahu betapa kakak juga sangat bersyukur. Mungkin ini titik permulaan buat kakak, tapi kakak berharap ini juga titik permulaan buat mama, papa dan seluruh keluarga kita. Masih belum terlambat lagi. Ya, perubahan bukan hanya sekadar memakai hijab di kepala, tapi memakai hijab di seluruh tubuh, percakapan, tingkah laku dan pergaulan kita. Mungkin sekarang aku sekadar hamba yang masih bertatih menuju ke Tuhannya, wanita yang masih bertatih untuk cuba menutupi auratnya, dan insan yang masih bertatih ke arah kebaikan. Tapi, aku punya cita-cita ...syurga Allah itu luas dan aku mahu merasainya.

Jika difikir, perubahanku hanya bermula daripada sebuah novel, tulisan yang membuatku sedar bahawa aku bukanlah sekadar watak putih di dalam al-Quran, yang membuatku tertarik untuk menyelusuri hadis Rasulullah SAW, yang akhirnya membawa aku untuk mengenali Penciptaku melalui ayat cintaNya.

Baru kini aku sedar hidayah itu memang hak milik Allah sepenuhnya. Tapi, ia takkan sesekali datang bergolek. Aku yang perlu mencarinya. Jujur, jalan perubahan tidak mudah. Aku juga sering teruji. Kawan yang dahulu susah senang bersama mula meninggalkanku, niatku terkadang diperlekeh, hatiku terkadang memberontak mahu kembali kepada dahulu. Tapi, aku yakin Allah itu ada di sisi.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."
(Surah Al-Baqarah, ayat 186)
Dalam satu petikan Hadis Qudsi, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

"....barangsiapa yang mendekatiKu sejengkal, maka Aku akan mendekatinya satu hasta. Barangsiapa yang mendekatiKu satu hasta, maka Aku akan dekatinya satu depa. Dan barangsiapa yang datang kepadaKu dalam keadaan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari..."


Takutkah...aku untuk berubah? Tidak! Kerana aku yakin, syurga itu bukan sekadar untuk para rasul, bahkan untuk mereka yang sentiasa beramal soleh dan mencari keredhaanNya. Dan aku juga mahu menjadi salah seorang antara mereka.

Written Back : Fatin Syamimi

1 comment:

Windflower said...

nice entri..
insyaAllah, sama2 lah kita berubah :)